05/03/2014

PROGRAM TAMAN SIFAR SAMPAH

  
Program Taman Sifar Sampah ini adalah salah satu program yang diadakan bagi memastikan kawasan taman perumahan di dalam daerah Alor Gajah bersih dari segala sampah sarap yang nyata. Taman sifar sampah bererti tidak ada sampah dibuang merata tempat.

ADUN Rembia YB Datuk Hjh. Norpipah Binti Abdol bersama Yang Dipertua MPAG Datuk Hj. Murad Bin Hj. Husin ketika melakukan simbolik gerakkerja di Taman Kasa Height, Alor Gajah.

  Tujuan utama kami mengadakan program taman sifar sampah ini adalah untuk mendidik masyarakat bagi meningkatkan tahap kebersihan dan memastikan taman ini bebas daripada sebarang masalah sampah. Dengan program seumpama ini kita dapat menimbulkan kesedaran dan membudayakan amalan penjagaan kebersihan oleh masyarakat Alor Gajah khususnya.

  MPAG akan memperluaskan program taman sifar sampah ini secara menyeluruh di taman-taman perumahan yang ada dalam kawasan pentadbiran MPAG. Ini merupakan usaha berterusan pihak MPAG dengan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan daerah ini bebas daripada sampah, bersih serta ceria. Ia bagi mengangkat nilai status daerah ini sebagai daerah contoh.




  Pihak MPAG mengatur beberapa langkah untuk menarik minat masyarakat dalam menjayakan program ini seperti mengadakan kempen kesedaran. Selain itu, beberapa keuntungan yang boleh didapati oleh penduduk taman terlibat antaranya :-
i)             Taman akan bebas sampah
ii)            Kawasan taman akan bertambah bersih dan ceria.
iii)           Bebas dari penyakit berjangkit seperti denggi.
iv)           3R (Reduce, Reuse, Recycle) ia akan menambah hasil penduduk.

  Pihak MPAG akan memberi kemudahan seperti membaiki taman rekreasi dan kemudahan lain setelah taman tersebut memenuhi kriteria yang ditetapkan dan mendapat sijil dari MPAG.


  Diharap program ini dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran terutamanya di taman-taman perumahan dan tempat awam. Di samping itu, adalah diharapkan program seumpama ini mampu menyebarkan maklumat kepada masyarakat akan kepentingan menjaga kebersihan, selain menambah pengetahuan masyarakat akan kaedah dan kepentingan kitar semula dalam kehidupan seharian. Diharap kita dapat mengekalkan kerjasama erat yang telah terjalin bagi manfaat semua pihak.



Pengarang:
Jabatan Kebersihan dan Kesihatan
MPAG

No comments: