PROJEK TEKNOLOGI HIJAU

1. PROJEK KOMUNITI SOLAR DI TAMAN REMBIA PERKASA, ALOR GAJAH


Pemasangan sistem solar PV di Taman Rembia Perkasa, Alor Gajah merupakan projek perintis pertama di Negara dan bakal menjadi mercu tanda baru bagi Negeri Melaka. Pemilihan Taman Rembia Perkasa adalah kerana taman tersebut terletak di dalam kawasan Melaka World Solar Valley yang mana telah diwartakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan sebagai Lembah Suria. 



Projek ini adalah untuk mengaplikasikan teknologi suria di dalam kawasan Melaka World Solar Valley dan secara tidak langsung menyahut seruan kerajaan negeri  untuk menjadikan Negeri Melaka sebagai Negeri Bandar Teknologi Hijau.


Projek perintis di negara ini dilaksanakan secara usaha sama antara tiga pihak iaitu Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Yayasan Melaka dan Syarikat Green Earth Design Solution (GEDS) Sdn Bhd. Projek ini mendapat kerjasama penuh dari Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) selaku pihak yang meluluskan kuota FIT (Feed-In Tariff). Projek ini yang akan dilaksanakan secara 4 fasa di mana setiap fasa mengandungi 100 unit rumah. Projek ini akan dijadikan sebagai model dan akan diperluaskan ke taman-taman lain secara berperingkat.




Kumpulan pertama kira-kira 400 penduduk Taman Rembia Perkasa bakal berpeluang menikmati kemudahan pemasangan panel suria secara percuma secara berperingkat. Sehingga penghujung bulan Januari 2013 ini 10 unit rumah pertama telah berjaya dipasang. Menerusi projek ini setiap pemilik rumah akan mendapat 20 panel suria yang berkeupayaan untuk menjana tenaga elektrik sebanyak 5 kilowatt peak (kWp) yang akan dipasang di bumbung rumah mereka.




Adalah menjadi hasrat kerajaan Negeri Melaka melalui pimpinan YAB Datuk Seri Mohd Ali Bin Mohd Rustam untuk melihat semua premis pejabat kerajaan dan swasta, kilang-kilang, sekolah dan termasuk rumah-rumah kediaman di dalam kawasan Melaka World Solar Valley menggunakan sepenuhnya teknologi solar ini demi memartabatkan Melaka sebagai negeri yang menggunakan sepenuhnya teknologi hijau.



2. PROJEK PENUKARAN LAMPU JALAN KONVESIONAL KEPADA LED



Sumber Utusan Online 20/09/2011

ALOR GAJAH 21 Sept. - Ke arah merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai bandar teknologi hijau, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengorak langkah menggantikan lampu jalan konvensional kepada jenis lampu putih diod pemancar cahaya (LED).

Setiausahanya, Shadan Othman berkata, sebanyak 10 unit lampu berkenaan dipasang pada lima tiang lampu jalan di persimpangan Melaka World Sollar Valley yang merupakan projek kedua selepas pemasangan jenis sama di Pulau Sebang, Ogos lalu.
Menurutnya, lampu LED dilihat lebih efektif dalam menjaga alam sekitar kerana ia tidak melepaskan gas karbon dioksida berbanding lampu konvensional jenis sodium yang melepaskan gas berkenaan sehingga 80 peratus.



"Pemasangan lampu LED lebih mesra alam berbanding lampu konvensional yang mencatatkan bacaan pelepasan karbon dioksida yang tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja-kerja pemasangan lampu berkenaan di persimpangan Melaka World Sollar Valley, Rembia di sini hari ini.

Katanya, ia merupakan projek perintis dan akan dipantau selama enam bulan untuk melihat keberkesanannya secara menyeluruh sebelum dikembangkan ke seluruh daerah ini meliputi lampu isyarat, lampu di perhentian bas dan kawasan pejalan kaki.




Shadan berkata, selain mesra alam, lampu LED juga menyumbang kepada penjimatan kos dan penyelenggaraan serta penggunaan tenaga elektrik yang rendah.
"Saya dimaklumkan pihak kontraktor bahawa penggunaan lampu LED dapat menjimatkan kos dan jumlah guna tenaganya pula kurang 60 peratus berbanding lampu konvensional dan kadar kecerahan juga tiga kali lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, dari segi penyelenggaraan, lampu LED berupaya beroperasi selama 50,000 jam bersamaan kira-kira empat tahun berbanding lampu konvensional hanya mampu bertahan selama 10 bulan.
Tambahnya, penggantian lampu itu juga sejajar dengan matlamat MPAG dan kerajaan negeri untuk mewujudkan bandar selamat yang salah satu kriterianya adalah pencahayaan di kawasan berisiko berlaku jenayah.





1 comment:

Shafie Taib said...

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi admin melalui email teknologihijau@mpag.gov.my atau ultrahijaualorgajah@gmail.com